Athiyah bin Khilaf adalah seorang pedagang kurma di Mesir.
Allah s.w.t telah memberikan kekayaan kepadanya yang melimpah ruah. Belum
berapa lama beliau ditimpa ujian kemiskinan sehingga yang tinggal hanyalah
pakaian yang dipakainya ketika itu.
Pernah suatu ketika pada hari Ayura (10 Muharam) Athiyah
menunaikan solat Subuh di masjid Amru Al Ash. Beliau duduk berjauhan sedikit
daripada orang lain untuk berdoa dan bermunajat ke hadrat Allah s.w.t. Lazimnya
kaum perempuan tidak dibenarkan memasuki masjid tersebut tetapi berlainan pula
pada hari Asyura. Mereka dibenarkan masuk sekadar berdoa di dalamnya.
Tiba-tiba seorang wanita dan anak-anaknya datang kepada
Athiyah. Dia merayu supaya dapat kiranya diberi sedikit makanan kepada
anak-anaknya yang telah yatim. Wanita itu tiada tempat untuk mengadu nasibnya
kerana asalnya keturunan syarifah (mulia). Dia pula tidak mengenali sesiapa
pun. Dia juga tidak pernah keluar rumah kecualilah pada hari itu. Keadaannya
sudah terdesak. Athiyah berkata pada dirinya, " Aku sendiri pun tidak
mempunyai apa-apa kecuali kain yang aku pakai ini. Sekiranya kain ini aku
berikan kepadanya di sini maka terbukalah auratku. Tetapi jika aku menolak
permintaannya bagaimana aku hendak menjawab pertanyaan Allah dan rasulullah
s.a.w nanti."
Athiyah pun mengajak wanita tersebut ke rumahnya. Sampai
saja di rumah Athiyah masuk ke rumahnya sementara wanita dan anak-anaknya tadi
menunggu di luar. Athiyah pun membuka pakaian yang dipakainya tadi lalu
menyerahkan pakaiannya kepada wanita itu. Beliau mencari sisa-sisa kain yang
tidak dapat dipakai lagi untuk menutup auratnya. "Terima kasih, tuan.
Semoga Allah s.w.t memberi pakaian perhiasan syurga dan semoga engkau tidak
lagi berhajat pada orang lain sesudah ini." kata wanita itu dengan gembirannya
sambil berdoa.
Pada malam itu Athiyah bermimpi bertemu dengan bidadari yang
teramat cantik. Bidadari itu memegang sebiji buah epal yang harum baunya. Dia
memberikan epal itu kepada Athiyah. Ahtiyah pun membelah epal itu. Tampaklah di
dalamnya perhiasan syurga yang tidak dapat dinilai dengan dunia dan seisinya.
" Siapakah engkau?"
" Aku Asyura ," isterimu di syurga."
" Bagaimanakah saya memperolehi perhiasan ini? Dengan
doa wanita itu dan anak-anaknya yang telah engkau tolong itu," jelas
bidadari itu.
Bukan sebarang orang dapat melakukan seperti Athiyah tadi.
Hanya orang beriman yang yakin dengan janji-janji Allah s.w.t sedia berkorban
walaupun yang ada padanya hanya sehelai pakaian yang tinggal. Rasulullah s.a.w
bersabda: " Sesiapa yang diminta sesuatu kerana Allah maka apa yang
diberikan itu ditulis untuknya pahala tujuh puluh kebaikan."
Oleh itu manfaatkanlah harta yang kita miliki seperti wang
yang berlebihan, kain baju yang banyak dan apa sahaja yang ada pada kita.
Sedekahkanlah kepada orang lain yang lebih memerlukannya. Hayatilah firman
Allah s.w.t ini:
" Di hari kiamat nanti, harta dan anak pinak tidak
berguna lagi kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera
bersih dan beriman." (Surah Asy Syura: 88 dan 89)
No comments:
Post a Comment