Tanggal 1
Syawal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia meraikan kejayaan menewaskan
hawa nafsu setelah berjuang sepanjang bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu.
Menurut ajaran Islam, menyambut Aidilfitri juga merupakan suatu ibadat yang menatijahkan
pahala di alam akhirat kelak. Maka terdapat pelbagai amalan sunnah yang
dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk diamalkan setiap kali perayaan ini
menjelma. Walaubagaimanapun, agak malang apabila ada segelintir umat Islam yang
mengabaikan panduan Rasulullah s.a.w dalam menyambut Aidilfitri lantas
melakukan kesilapan-kesilapan yang berulangkali saban tahun, sehingga ada
teguran yang mengungkapkan “sehari beraya, rosak sebulan berpuasa”,
na’uuzubillahi min zaalik.
Lupa Bahawa Aidilfitri Adalah Ibadat
Kesilapan
pertama, bahkan ia adalah punca segala kesilapan yang lain, iaitu apabila
seseorang muslim yang menyambut Aidilfitri tidak merasakan bahawa ia adalah
suatu bentuk ibadat kepada Allah s.w.t.
Aidilfitri dianggap sama seperti perayaan agama-agama lain sedangkan ia
amat berbeza terutamanya dari aspek spiritual, falsafah dan cara menyambutnya.
Apabila terlupa aspek ibadat, maka keseronokan menguasai suasana dan akan
menjadi fokus utama. Bergembira, berpesta dan berhari raya dalam keadaan tidak
menyedari apakah sebenarnya yang sedang dirayakan. Saling bermaafan, ziarah
menziarahi, menjamu selera dan pelbagai aktiviti lagi, tetapi terlupa satu
persoalan, “adakah aku benar-benar menyambut Aidilfitri sebagaimana yang
dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w?”. Berhentilah seketika lantas renungilah
persoalan ini. Perhatikan tingkahlaku ahli keluarga dan sahabat handai,
kemudian jawablah persoalan ini dengan hati yang tulus.
Abaikan Sunnah Aidilfitri
Bermula
pada malam Aidilfitri sehingga solat sunat hari raya, kita amatlah digalakkan
melaungkan takbir raya. Pada 1 Syawal pula, disunatkan beberapa amalan seperti
mandi sunat Aidilfitri, memakai pakaian yang baru atau terbaik berserta
wangian, sarapan pagi, pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan pulang
menggunakan laluan yang berbeza daripada jalan ia datang, ziarah menziarahi serta saling mengucapkan
tahniah di atas kejayaan menempuh Ramadhan di samping mendoakan agar Allah
menerima amalan kita semua. Sebahagian umat Islam hanya memilih beberapa amalan
sahaja, bahkan tidak merangsang anak-anak dan ahli keluarga secara bersungguh
untuk mengamalkan sunnah-sunnah yang hanya hadir sekali setahun ini. Mereka
hanya menitikberatkan baju baru, solat hari raya dan ziarah sahaja. Bahkan ada anak-anak
muda yang hanya hadir menunaikan solat sunat Aidilfitiri, tetapi tidak
mendengar khutbah lalu terus beredar sebaik sahaja selesai menunaikan solat.
Takbir di malam raya bertukar menjadi “tawaf” di gerai-gerai jualan penghabisan
stok malam raya, atau ditenggelami kemeriahan bersama ahli keluarga menyiapkan
susunan kuih raya, perabot, sofa, langsir dan sebagainya. Hakikatnya, berjual
beli tidak dilarang tetapi ia dianggap suatu kesilapan apabila menghilangkan
ruh ibadat Aidilfitri. Begitu juga kesibukan menyiapkan persiapan hari raya di
rumah, janganlah terlupa untuk menghiasinya juga dengan laungan takbir bersama
ahli keluarga. Pastinya kegembiraan akan hadir bersama keberkatan dari Allah
s.w.t.
Beraya Dengan Televisyen Dan Games
Suatu cabaran
buat ibubapa pada zaman kini, apabila anak-anak lebih memilih untuk “iktikaf”
di hadapan televisyen pada hari raya. Mereka begitu seronok menikmati
hidangan-hidangan yang disajikan sehingga amat sukar diajak bersama-sama
menziarahi sanak saudara. Bahkan ada yang mensyaratkan waktu-waktu tertentu
untuk program ziarah, kerana tidak mahu terlepas rancangan menarik di
televisyen. Ketika ini, ibubapa perlu bertegas bahkan berusaha mewujudkan
suasana yang ceria dan seronok apabila bertemu sanak saudara.Menjadi satu
kesilapan besar sekiranya ibubapa mengambil jalan mudah dengan membiarkan
anak-anak di rumah untuk hanya “beraya” dengan tv. Peluang untuk bertemu dan
beramah mesra bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mestilah dimanfaatkan
kerana mengeratkan silaturrahim juga adalah suatu tuntutan agama. Ada juga
anak-anak yang hadir bersama-sama ketika ziarah, tetapi sibuk dengan
permainan-permainan berteknologi di dalam gadget masing-masing sehingga
bersalaman pun hanya sekadar menghulur tangan, sedangkan matanya asyik dengan
permainan di tangan. Mereka tidak berminat untuk berbual bicara apatah lagi
bergurau senda dan bermaafan, lantas hilanglah matlamat sebenar amalan ziarah
dilakukan.
Bermaafan Sekali Setahun
Ada
pasangan suami isteri yang hanya bermaafan pada hari raya sahaja. Begitu juga
sebahagian anak-anak yang hanya memohon ampun dan maaf daripada ibubapanya,
hanya pada pagi Aidilfitri. Demikianlah dalam persahabatan, bersama jiran
tetangga, rakan sepejabat dan sebagainya, ada yang hanya “menyusun sepuluh
jari” sempena Aidilfitri sahaja, sedangkan kesalahan dan kesilapan yang dibuat
bolehlah dikatakan saban hari. Tidak dinafikan bahawa Aidilfitri adalah peluang
untuk kita saling bermaafan, tetapi ia juga mestilah dilakukan setiap kali seseorang
itu melakukan kesilapan samada kecil atau besar. Memohon maaf tidak akan
menjadikan seseorang itu hina dan memberi kemaafan dengan sepenuh hati pula
adalah suatu ketenangan dan kepuasan yang amat sukar diungkap dengan kata-kata.
Maksiat Aidilfitri
Kesilapan
yang paling menyedihkan ialah wujudnya pelbagai maksiat ketika menyambut Aidilfitri, seolah-olah pelakunya
lupa segala didikan yang diterima di madrasah Ramadhan yang baru sahaja
berlalu. Ketaatannya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa,
tidak diteruskan setelah Syawal menjelma. Pergaulan yang terlalu bebas tanpa
batasan berserta pendedahan aurat terutamanya golongan wanita dengan
fesyen-fesyen pakaian yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai “berpakaian
tetapi telanjang” menjadi perkara yang sangat berleluasa ketika menyambut
Aidilfitiri. Bahkan ada pasangan-pasangan kekasih yang ‘berpuasa dating’
sepanjang Ramadhan terus ‘berbuka datingnya’ dengan menyambut hari lebaran
secara bersama kononnya. Begitu juga perbuatan bersalaman antara lelaki dan
perempuan yang bukan mahram, samada di kalangan ahli keluarga, ipar duai dan
sahabat handai, juga mestilah dielakkan di dalam keriangan kita pada hari
lebaran itu. Antara maksiat yang sangat besar dilakukan pada hari raya juga
ialah meninggalkan solat kerana terlalu asyik beraya sehingga keletihan, lantas
terlupa atau buat-buat lupa untuk menunaikan solat. Amatlah malang golongan
seperti ini kerana perbuatan-perbuatan tersebut seolah-olah satu pengisytiharan
terhadap kegagalannya daripada tarbiah Ramadhan.
Ziarah Kubur
Antara
kesilapan yang sering berlaku pada hari raya Aidilfitri ialah berkaitan amalan
menziarahi kubur ahli keluarga seperti arwah ibubapa, datuk, nenek, guru dan
sebagainya. Kesilapan pertama ialah mengkhususkan hari raya sahaja untuk
menziarahi, mengingati dan mendoakan
mereka sedangkan ketika pulang bercuti pada waktu lain, mereka tidak ‘diziarahi
dan didoakan’. Doa kepada si mati, khususnya ibubapa mestilah dilakukan
sepanjang masa walaupun tidak berkesempatan menziarahi kubur mereka. Perkara
kedua ialah golongan wanita yang pergi ke kubur dengan keadaan yang menimbulkan
fitnah seperti berseorangan atau dengan pakaian yang menarik perhatian kaum
lelaki, serta tangisan yang berlebihan. Kesilapan ketiga ialah melupakan
matlamat sebenar menziarahi kubur, iaitu mengingati kematian. Menziarahi kubur
bukan untuk bersedih atau melemahkan semangat seseorang untuk terus mengharungi
kehidupan tanpa insan tersayang, tetapi ia mengingatkan kita agar terus
bersemangat dalam memanfaatkan kehidupan ini bagi menyediakan bekalan untuk
bermusafir ke alam akhirat nanti.
Open House
Suatu
budaya baru masyarakat Malaysia dalam menyambut Aidilfitri ialah dengan
mengadakan “open house”. Hukum asalnya adalah harus, iaitu hukum menyediakan
juadah dan menjemput tetamu menikmatinya bersama-sama. Ia mungkin berubah
menjadi haram. Bahkan adakalanya ia sangat digalakkan dan amat besar pahalanya.
“Open house” dilakukan terutamanya di bandar-bandar besar bagi memudahkan tuan rumah dan juga para
tetamu merancang jadual pergerakan mereka. Demikian juga kawasan-kawasan
perumahan yang menghadapi masalah keterbatasan ruang parking dan ruangan makan
yang memerlukan pemasangan khemah yang menghalang laluan, maka ia dirancang dan
dilakukan secara bergilir-gilir sesama ahli kejiranan. Walaubagaimanapun,
sekiranya ia dilakukan dengan penuh kesombongan dan perasaan ingin
menunjuk-nunjuk kehebatan majlisnya ataupun dengan hanya mengkhususkan jemputan
kepada golongan kaya sahaja dan menafikan jiran-jiran berdekatan semata-mata
kerana status yang lebih rendah, maka dibimbangi majlis bakal bertukar menjadi
sebab dosa, bukannya ibadat Aidilfitri lagi.
Kesimpulan
Kebanyakan
kesilapan yang berlaku adalah disebabkan kejahilan dan juga persekitaran yang
mendorong ke arahnya. Maka setiap insan yang bersungguh-sungguh mencari
keredhaan Allah perlulah berusaha menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan
tuntutan-tuntutan agama dalam kehidupan ini. Ilmu seumpama cahaya yang menyuluh
jalan yang benar di dalam kehidupan. Tanpa cahaya, seseorang meraba-raba dalam
kegelapan tanpa panduan ke arah yang betul. Tetapi tidak dinafikan juga
seseorang yang mempunyai pengetahuan tidak mampu merealisasikannya disebabkan
persekitaran dan rakan-rakan yang tidak mendorong ke arah kebaikan, maka ketika
itu perlulah mengambil tindakan yang drastik dalam memilih persekitaran dan
teman-teman dalam kehidupan ini. Semoga kita terus diberi hidayah oleh Allah
untuk bergembira di hari raya Aidilfitri di samping mengumpul sebanyak mungkin
pahala di celah-celah keriangannya.
SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA SAUDARA MARA, SAHABAT DAN KENALAN DI MEDIA SOCIAL DARI SAYA DATIN HAYATI & KELUARGA SERTA SEMUA KAKITANGAN DHayati Resources SDN BHD, Meta Genius Myra Academy, Myra de Beaute.
No comments:
Post a Comment