Thursday, September 24, 2015

JIHAD DALAM PERNIAGAAN


PERNIAGAAN adalah jihad yang sangat dituntut oleh Islam. Ia dilihat sebagai satu fardu kifayah yang mampu meningkatkan penguasaan ekonomi orang Islam. Ekonomi yang mantap adalah keperluan utama untuk membolehkan umat Islam terus bersaing dalam keadaan dunia hari ini.

Allah berfirman, maksudnya: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) atau dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 41)

Sebagai mengupas ayat di atas, Hamka menyebut: "Agama Islam tidak akan dapat tegak, dan tidak akan sempurna tegak, kalau tidak diperjuangkan (jihad), dan jihad itu, memakan ongkos. Jihad dengan 'air ludah' saja ialah bicara yang kosong... Perlu sangat supaya orang Islam kaya raya, kerana dengan kekayaan itulah dia akan dapat mempertinggi kemuliaan budinya, kebudayaannya, keagamaannya, dan pembangunannya." (Keadilan Sosial Dalam Islam 1985, muka 50-51).

Rasulullah diriwayatkan berkata bahawa: "Sembilan daripada sepuluh punca rezeki adalah daripada perniagaan."

Sejarah awal perkembangan Islam sendiri menyaksikan bagaimana Rasulullah saw dan sahabat terbabit dalam perniagaan.

Rasulullah pada zaman muda menguruskan perniagaan bagi pihak Siti Khadijah, seorang ahli perniagaan berjaya yang menggunakan harta kekayaannya untuk memajukan Islam.

Bagaimanapun, kekayaan di dunia bukan matlamat akhir peniaga Muslim. Destinasi akhir perjalanan mereka ialah kehidupan yang lebih baik di akhirat. Oleh itu, kegiatan perniagaan perlu dilihat sebagai satu ibadah yang mengimbangi keperluan hidup di dunia ini dan persediaan untuk kehidupan di akhirat.

Ini sebagaimana firman Allah bermaksud: "...Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Oleh itu, setiap peniaga Muslim wajib memastikan supaya setiap kegiatan perniagaannya dilakukan menepati keperluan syariah dan melaksanakan ikrarnya kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162)

Umat Islam digalakkan supaya tidak mengehadkan penggunaan harta sesama sendiri, terutama secara yang salah dan kita digalakkan supaya bergiat dalam perniagaan. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu." (Surah an-Nisaa', ayat 29)

Amalan perniagaan Islam hanya dapat ditingkatkan di kalangan peniaga Muslim melalui penghayatan sepenuhnya terhadap falsafah ekonomi Islam itu sendiri.

Falsafah ekonomi Islam berpaksikan kepada tiga doktrin utama iaitu: 

Penghayatan bahawa Allah sebagai pemilik sebenar.

Allah adalah Pencipta segala kejadian, termasuk manusia sebagaimana firman-Nya, bermaksud : "Dialah yang memiliki segala yang di langit dan yang ada di bumi dan juga yang ada antara kedua-duanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi." (Surah Taha, ayat 6)

Sesungguhnya segala kegiatan manusia di dunia, termasuk kegiatan ekonomi semata-mata untuk mencari keredaan Allah. 

Kesedaran bahawa manusia adalah khalifah di bumi ini.

Sebagai khalifah di bumi ini, manusia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka membawa kesejahteraan kepada orang lain dalam pimpinan mereka.

Rasulullah bersabda: "Semua kamu ialah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepemimpinannya..." (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Allah turut berfirman, maksudnya: "Dan tiadalah kami mengutuskan kamu melainkan untuk membawa rahmat bagi semesta alam." (Surah al-An'am, ayat 38) 

Kesedaran, kefahaman dan penghayatan konsep keadilan sosial

Islam sangat menitikberatkan aspek keadilan sosial, termasuk dalam aspek perekonomian. Islam melarang harta kekayaan dimonopoli oleh sekumpulan kecil manusia, sedangkan majoriti masyarakat terbiar dalam kemiskinan.

Dalam hal ini, Allah berfirman, maksudnya: "Dan nafkahkanlah di jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan." (Surah al-Baqarah, ayat 195).

No comments:

Post a Comment