Tuesday, July 1, 2014

Keajaiban iman tukang sihir dan keangkuhan firaun



Berdasarkan Surah Taha, surah ke-20, bermula dari ayat 65-76

65. Mereka (tukang sihir) berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak terlebih dahulu atau kamikah yang akan mula-mula mencampak?”

Pengajaran ayat:

  • Tukang sihir menunjukkan adab-adab yang baik ketika hendak bertarung dengan Nabi Musa dengan memberi tawaran kepada Musa; siapakah yang akan mencampakkan tongkat dahulu, adakah mereka atau Musa dahulu?

66. Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah yang mencampak(nya) dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya (Musa) seolah-olah benda-benda itu berjalan, disebabkan sihir mereka.

Pengajaran ayat:

  • Abu Hayan berkata: Perintah (mencampakkan tongkat) ini bukanlah bermaksud Nabi Musa membenarkan sihir yang mereka lakukan, tetapi tujuannya adalah untuk mewujudkan perbezaan antara benda yang mereka campakkan dan mu’jizat Nabi Musa, seolah-olah beliau berkata: Campaklah sekiranya kamu orang-orang yang benar.
  • Musa terkejut sewaktu tongkat-tongkat dan tali-tali mereka tiba-tiba berjalan, padahal ianya hanya sebuah ilusi yang mengkhayalkan Nabi Musa. Itulah hakikat sihir yang sebenarnya iaitu hanya khayalan semata-mata.

67. Maka yang demikian itu menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

Pengajaran ayat:

  • Ketakutan Nabi Musa bukan bermakna ia tidak yakin kepada kekuasaan Allah tetapi sebagai tanda tabiat semulajadi manusia yang akan merasa gerun apabila melihat sesuatu yang luar biasa di hadapannya.

68. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (Wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi, mengatasi mereka dengan kemenangan.”

Pengajaran ayat:

  • Allah SWT memberi jaminan kepada Nabi Musa bahawa dialah yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi dan mengatasi semua manusia yang lain.
  • Kekuatan yang sebenar ialah kekuatan Allah yang tidak mungkin dikalahkan oleh sesiapa. Ini menguatkan kembali keyakinan Nabi Musa untuk berdepan dengan Firaun, tukang-tukang sihirnya dan bala tenteranya.

69. “Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.

Pengajaran Ayat:

  • Pada ayat ini, tidak disebut ‘campakkan tongkat engkau’ supaya Musa tidak merasa gerun kepada tongkat-tongkat dan tali-tali tukang sihir memandangkan tongkat Nabi Musa hanyalah satu. Ini kerana yang akan mengalahkan tongkat-tongkat dan tali-tali tukang sihir ialah Allah, bukannya tongkat Nabi Musa.
  • Setiap yang batil dan palsu akan mudah dikalahkan oleh kebenaran. Mu’jizat Nabi Musa  menelan semua sihir-sihir tukang sihir  sekaligus dan dengan mudah kerana sihir mereka adalah khayalan, palsu dan tidak benar.
  • Allah menjelaskan bahawa semua sihir hanyalah tipu daya penyihir dan ia tidak akan berjaya walaupun ianya datang daripada tukang sihir yang paling hebat.

70. (Setelah Nabi Musa mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan Ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

Pengajaran Ayat:

  • Tatkala mereka melihat apa yang dilakukan oleh Musa adalah sesuatu yang luar daripada kebiasaan sihir , mereka yakin bahawa itu bukanlah sihir tetapi mu’jizat.
  • Hidayah Allah terus masuk ke dalam hati-hati tukang sihir yang memang telah terbuka dan bersedia untuk menerima hidayah (sifat rendah diri tukang sihir di peringkat awal memudahkan lagi proses penerimaan hidayah Allah).
  • Mengikut setengah riwayat, tukang sihir tidak mengangkat kepala-kepala mereka daripada sujud sehinggalah mereka melihat syurga, neraka, pahala, balasan buruk dan tempat-tempat mereka di dalam syurga yang memantapkan lagi iman mereka.
  • Kata al-Zamakhsyari (ahli tafsir): Alangkah menakjubkan perubahan tukang sihir yang begitu ketara dan mengejutkan. Di awal mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat mereka kerana kekufuran dan keingkaran kepada Allah. Kemudian sekelip mata mereka ‘mencampakkan’ pula kepala-kepala mereka ke tanah kerana sujud dan syukur kepada Allah.

71. Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu secara bersilang, dan aku akan menyalibkan kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak, siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.

Pengajaran Ayat:

  • Takabbur dan sombong adalah penghalang besar kepada berimannya manusia kepada Allah. Mereka yang takabbur dan sombong tidak akan tunduk kepada kebenaran walaupun melihat kebenaran dengan bukti yang nyata di hadapannya.
  • Apa yang dibimbangi dan ditakuti oleh Fir’aun ialah  orang ramai akan ikut beriman sebagaimana tukang sihir beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
  • Tabiat orang yang kufur kepada Allah, yang bergantung kepada sihir dan hujah yang rapuh, akan mendakwa sesuatu yang luar biasa itu semuanya adalah sihir, bukan di atas kebenaran dan dalil yang nyata.
  • Dari sini, Fir’aun membuat tuduhan bahawa sihir Musa yang di ajar kepada tukang sihirlah penyebab kepada berimannya tukang sihir kepada Allah
  • Apabila pemerintah yang zalim tidak dapat mengawal tingkah laku dan hati pengikutnya, maka ketika itu mereka akan menggunakan kuasa dan kekerasan untuk memaksa dan menyeksa demi untuk kekal berkuasa.
  • Fir’aun terus sombong dan angkuh  dengan mencabar siapakah yang paling pedih azab seksanya.

72. Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

Pengajaran Ayat:

  • Apabila iman telah meresap ke dalam hati manusia, maka ia tidak akan gentar kepada ugutan manusia, kerana mereka yakin bahawa azab Allah jauh lebih pedih dan kekal selama-lamanya.
  • Tukang sihir yang baru sahaja beriman terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai orang yang beriman iaitu mengambil peluang untuk mengingatkan manusia tentang kehidupan akhirat.
  • Lalu kata tukang sihir kepada Fir’aun, ‘Kamu hanya akan berkuasa selama kamu hidup di dunia sahaja, dan apabila kamu mati, kamu akan dihukum oleh Allah.’

73. “Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami untuk melakukannya. dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya.

Pengajaran Ayat:

  • Matlamat hidup seorang mu’min yang paling besar ialah untuk mendapat keampunan Allah dan keredaan-Nya. Itulah yang dijelaskan tukang sihir kepada Fir’aun mereka tidak gentar kepada ancaman manusia sebaliknya lebih takut kepada azab Allah yang hanya boleh terlepas apabila mendapat keampunan dari-Nya.
  • Kemudian tukang sihir yakin bahawa Allah-lah sebaik-baik pemberi balasan apabila manusia taat kepada perintah-Nya dan pemberi seburuk-buruk balasan yang kekal bagi orang-orang yang ingkar. Kemudian tukang sihir memberi tazkirah kepada Fir’aun sebelum ia dihukum oleh Firaun.

74. “Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam Yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

75. “Dan sesiapa yang datang kepadanya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal Yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal Yang tinggi darjatnya.

76. “(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang Yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.


No comments:

Post a Comment