Abdullah bin Mas’ud menasihatkan, “Apabila kamu kagum kepada seorang wanita (atau lelaki), ingatlah semua kekurangannya.”
Maaf, ini bukannya tajassus atau mencari aib dan mengorek kekurangannya. Ini adalah nasihat supaya kita tidak dipermainkan oleh pesona hati, dan tidak dibuai oleh gelojak nafsu sehingga menjadi permainan syaitan.
Kadangkala, cinta membuatkan mereka yang celik menjadi buta, mereka yang punya telinga menjadi tuli, serta mereka yang mempunyai hati menjadi alpa dan tidak merasa.
Tuliskan diatas sehelai kertas..
Sekiranya kita masih sukar melupakan dia, tulis sahaja namanya pada sehelai kertas. Koyak kertas itu dan katakan kita sudah melupakan dirinya dan membuang jauh bayangan wajahnya.
Ini bukan bagi menunjukkan rasa benci, dengki, apatah lagi dendam. Kita melakukan begitu supaya kita tidak mahu hanyut dalam kesedihan, tidak terseksa dalam kekecewaan, dan supaya kita dapat segera melupakannya.
Sekiranya tidak, bayangannya akan sentiasa hadir dalam kehidupan kita, menghantui setiap mimpi, dan mengganggu setiap langkah.
Pasti kita tidak mahukan begitu, bukan?
Melupakan Kebaikan si dia..
Saya tidak bermaksud menyeru kita menjadi naïf, tidak membalas budi, apatah lagi tidak berterima kasih. Secara logiknya, kebaikan seseorang memang perlu dikenang.
Namun tujuan kita melupakan kebaikan mereka adalah supaya kita tidak dipermainkan oleh bayangan wajahnya, supaya kita tidak berasa, dirinya adalah insan terbaik dan satu-satunya untuk kita.
Dan supaya kita kita tidak mengganggap dia sebagai putera atau bidadari yang tiada tolok bandingnya.
Sehinggakan apabila kita tidak berjaya mendapat cinta dan tidak bernikah dengan dirinya, kita mengalami kekecewaan yang luar biasa. Seolah-olah hilang semuanya.
Ingat, dia juga manusia biasa seperti kita. Allah yang menetapkan takdir supaya dia berbuat baik kepada kita.
Walaupun dia pernah memberikan nasihat berharga, buku-buku, ataupun barang-barang yang sering kita ertikan sebagai tanda cinta dan setia.
Namun sekiranya kemudian, sekiranya perpisahan terjadi, anggap semua itu pemberian biasa daripada seorang manusia kepada manusia yang lain.
Hanya seperti sahabat yang mahu mengukuhkan tali persahabatan dengan memberi hadiah.
Sekiranya hadiah ataupun barang yang dia beri menjadikan kita terseksa dan sukar melupakan dirinya, lebih baik musnahkan semua barang itu.
Ada kalanya terasa berat melupakan dia yang pernah menembus dinding pertahanan hati. Ini mungkin kerana kebaikannya masih terus membayangi langkah kita.
Jangan membatasi diri pada satu nama
Jangan membatasi diri hanya pada satu nama, iaitu orang yang kita rasa suka dan yang kita cintai.
Sedangkan orang yang sudah meminang ataupun dipinang pun tidak dijamin menjadi jodoh terbaik. Inikan pula orang yang hanya muncul dalam istikarah atau hanya sekadar kita curi-curi pandang.
Kita tidak akan tahu sebab-musabab Allah menetapkan begitu. Tetapi yang pasti, semua ketetapan Allah itu mempunyai hikmah dan kebaikan kepada kita, sama ada kita sedar atau tidak.
Kita perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi semua kemungkinan. Semuanya perlu dipersiapkan, termasuk persiapan mental.
Kita perlu bersedia menghadapi perkara yang bercanggah dengan harapan.
Luqman Al-Hakim berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya ada sesuatu menimpamu, sama ada kamu suka ataupun benci, katakana dalam hatimu, itu adalah yang terbaik untukmu..’
Allah s.w.t menjamin akan memenuhi apa yang dipilih untuk kita, bukan apa yang kita pilih untuk diri sendiri, dan pada waktu yang Dia tentukan, bukan pada waktu yang kita mahukan.
Penutup: Pertemuan Yang Menyimpan Hikmah.
Allah tidak pernah lalai. Pertemuan kita dengan dia pasti ada ibrah atau pelajaran berharga. Antaranya:
- Pertama, kita tidak dibenarkan memutuskan ukhwah dengan dia. Oleh itu, berusaha untuk bersikap wajar dan seimbang.
- Kedua, Allah mahu melatih mental kita untuk bersedia menghadapi reality
Bukankah pertemuan menjadi seksaan batin apabila tidak dihadapi dengan hati yang dingin? Bukankah perjumpaan membuatkan hati mendidih, wajah pucat, kurang keyakinan diri, bahkan rasa malu yang berlebihan, terutama pada mereka yang dikecewakan?
Lantas, adakah kita perlu memalingkan wajah, bersikap acuh tidak acuh, dan kasar?
Bukankah Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan, dan Rasulullah s.a.w juga orang yang lemah lembut?
Cubalah bersikap wajar, tenang dan seimbang.
Jangan berasa lemah dan rendah, walaupun seakan-akan kamu kehilangan muka, dan tidak berharga di hadapan dia.
Setiap orang melalui masa silam yang berbeza.
Ada yang menyenangkan sehingga membuatkan kita tersenyum apabila mengenangnya. Ada pula yang menyakitkan ataupun memalukan sehingga membuatkan kita berasa resah, rendah diri, sedih, bahkan marah dan geram apabila tiba-tiba terkenang kembali.
Jadikan masa silam sebagai kenangan. Tidak perlu lagi bersedih apabila mengingatinya. Semuanya telah berlalu pergi seiring dengan bergantinya waktu.
Jadikan masa kini sebagai kesempatan bagi mengukir mimpi, meraih prestasi, dan mengoptimumkan potensi yang kita miliki.
Jadikan masa depan sebagai sasaran yang menyimpan sejuta harapan.
Keeps your head up
Pada waktu kita berjumpa dengan dia, walaupun terlintas perasaan malu, rendah diri, bahkan jengkel – jangan berasa diri kita rendah dan lemah!
Tegakkan kepala, dan yakini betapa setiap kejadian termasuk pertemuan kita dengan dia, pasti ada hikmah yang berharga. InsyaaAllah.
Semoga kamu terus kuat saudara-saudaraku! :’)