Memiliki kulit yang cantik, halus dan putih bersih tanpa
secalit noda menjadi perhatian mata yang memandang. Apabila ketawa atau malu,
serta-merta pipinya bertukar kemerah- merahan sekalipun tidak mengenakan
pemerah pipi.
Beruntunglah wanita yang memiliki kulit wajah cantik tanpa
cela mahupun masalah. Tanpa perlu bersolek tebal, kejelitaan semula jadi
terserlah hinggakan ramai menyangka dia lebih muda daripada usia sebenar.
Namun, tidak ramai di kalangan kita memiliki kulit sihat dan
cantik. Meneruskan gaya hidup kurang sihat dan tidak tahu cara betul dalam
penjagaan kulit wajah dan tubuh menyebabkan impian memiliki kulit cantik dan
melambatkan proses penuaan cuma tinggal angan-angan.
Jika wajah anda lebih muda daripada usia sebenar, ia
dianggap bonus. Andai wajah bersesuaian dengan usia, ia masih boleh diterima
tetapi sungguh mengecewakan apabila orang mengandaikan usia anda lebih tua
disebabkan wajah yang cepat dimamah usia.
Kebanyakan wanita Asia memiliki kulit berminyak yang mudah
mengundang jerawat. Kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang itu bukan saja
mencacatkan wajah, malah menimbulkan parut yang lambat pudar hingga terpaksa
ditutup dengan solekan tebal.
Bagi mereka yang memiliki kulit kering, masalah lain pula
timbul. Walaupun tiada masalah jerawat atau tona kulit tidak sekata, kulit
kering mudah kusam, berkedut atau jeragat jika tidak dijaga dengan baik.
Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru
Ratnavelu, berkata penting untuk kita mengetahui beberapa perkara yang menjadi
asas dalam usaha memastikan kulit sihat dan cantik serta melengahkan proses
penuaan.
Menurutnya, kulit berminyak akibat pengeluaran sebum secara
berlebihan yang menjadi punca jerawat. Jerawat masalah biasa dialami, terutama
di kalangan remaja yang akhir baligh, akibat perubahan hormon tubuh.
“Kulit wajah umpama belon. Ketika usia muda, ia dipenuhi
udara. Apabila usia semakin tua, kulit umpama belon yang tiada angin, kendur
atau hilang ketegangan.
“Ramai wanita prihatin dengan penjagaan kulit wajah dan
tubuh. Jika boleh, mereka mahu kelihatan awet muda dan berusaha melambatkan
proses penuaan,” katanya.
Ini berbeza dengan golongan remaja yang kurang mengambil
berat penjagaan diri, kecuali dinasihatkan ibu bapa supaya berbuat demikian.
Namun, mereka mula mengambil berat penjagaan kebersihan diri
dan wajah apabila mula berkawan dengan berlainan jantina.
“Mereka mahu kelihatan menarik dan meminta pandangan ibu
bapa atau doktor mengenai apa patut dilakukan untuk penjagaan diri dan wajah.
Bagi menjaga kesihatan kulit tubuh dan wajah, kita perlu selalu membersihkan
diri dan wajah,” katanya.
Dr Guru berkata, di negara bercuaca panas seperti Malaysia,
tabiat mencuci muka perlu diamalkan bagi mengatasi masalah kulit berminyak.
Dalam membantu menjaga dan mengekalkan kulit sihat, krim
pelindung matahari perlu disapu pada wajah bagi mengelak ia menjadi gelap dan
kusam apabila terdedah secara langsung dengan sinaran matahari.
“Krim pelindung matahari SPF 50 sesuai digunakan untuk
mereka yang sering berada di luar, misalnya bersukan, makan angin atau ketika
di tepi pantai, manakala SPF 30 untuk mereka yang bekerja di dalam pejabat.
Sesetengah krim pelindung matahari mempunyai minyak mineral yang membuatkan masalah
jerawat bertambah buruk.
“Mereka yang mengalami masalah jerawat dinasihatkan tidak
menggunakan krim pelindung matahari yang mempunyai kandungan minyak mineral.
“Ketika membeli produk di kedai barangan penjagaan diri,
cari krim pelindung matahari yang tertulis ‘noncomedogenic’ iaitu istilah
digunakan untuk krim atau losyen yang tidak menyekat liang roma,” katanya.
Penuaan intrinsik ialah kesan penuaan kulit dipengaruhi
faktor dalaman fisiologi atau perubahan mengikut usia manakala penuaan
ekstrinsik adalah proses kemerosotan disebabkan faktor luaran seperti radiasi,
pendedahan cahaya matahari dan bahan kimia.
“Untuk mengetahui kesan penuaan intrinsik, perhatikan bawah
lengan kita kerana kulit berkenaan biasanya cerah, licin dan lembut berbanding
pada belakang tangan yang kering dan berkedut kerana terdedah kepada cahaya
matahari.
“Petani lebih mudah mengalami kesan penuaan ekstrinsik
melalui pendedahan cahaya matahari, menyebabkan kulit mereka kering dan
berkedut.
“Pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari banyak
menyebabkan perubahan pada wajah, sebab itu kebanyakan petani memakai topi
lebar dan baju lengan panjang.
“Di Australia, kejadian kanser kulit tinggi kerana mereka
gemar berjemur di bawah sinaran matahari bagi mendapatkan kulit lebih gelap,”
katanya.
Katanya, orang Asia nampak lebih muda daripada orang putih
(Caucasus). Tabiat mat salih yang suka terdedah kepada cahaya matahari
menyebabkan kerosakan kulit.
“Tambahan pula, jumlah melanin orang Asia yang lebih banyak
menjadikan kulit lebih gelap berbanding orang putih, menyebabkan kita lebih
tahan cahaya matahari.
“Untuk mengekalkan kulit cantik dan meremajakan kulit dari
dalam, amalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan lebihkan
buah-buahan. Kekalkan kecergasan tubuh dengan bersenam dan minum air putih
sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
“Orang Asia banyak mengambil makanan mengandungi
karbohidrat, makanan menggemukkan dan berminyak. Ia tidak bagus untuk kesihatan
dan jika mahu kekal sihat dan nampak muda, gaya hidup dan pemakanan perlu
diubah.
“Elakkan stress, bersenam setiap hari dan tidur enam hingga
lapan jam sehari. Mengurangkan pengambilan makanan berlemak dapat mengurangkan
masalah sakit jantung.
“Ketika tidur malam, sapu pelembap antioksidan yang
diperkaya dengan vitamin. Tidur malam ialah waktu terbaik untuk menyerap
kandungan aktif pada produk penjagaan kulit.
“Bersenam setiap hari biarpun cuma untuk waktu singkat,
membantu anda mencapai impian memiliki tubuh sihat dan bertenaga. Senaman
secara rutin membolehkan peredaran darah menjadi lebih lancar dan kulit
kelihatan lebih tegang dan muda,” katanya.
Menurutnya, pengambilan minuman beralkohol dan merokok perlu
dielakkan kerana tidak baik untuk kulit, mulut dan gigi. Merokok membuatkan
seseorang nampak lebih tua daripada usia sebenar.
Bagi yang tidak merokok (perokok pasif), elakkan pendedahan
pada asap rokok kerana ia bukan saja merosakkan kulit tetapi mempunyai risiko
dua kali ganda untuk mendapat penyakit berbanding mereka yang merokok.
“Indeks jisim tubuh (BMI) perlu dikekalkan pada tahap ideal.
Sebilangan kita suka makan banyak walaupun sudah kenyang, terutama ketika
berjamu secara bufet. Ini menyebabkan faktor berat badan berlebihan. Sebaik-
baiknya kita makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang,” katanya.
Untuk memiliki kulit cantik, amalkan makan buah- buahan.
Anda juga boleh membuat sendiri jus buah, tetapi elakkan menambah gula. Perkara
ini juga perlu dilakukan jika memesan jus buah ketika makan luar.
Rawatan muka di salun boleh membuatkan kita berasa lebih
selesa, malah orang yang sentiasa gembira nampak lebih muda kerana kegembiraan
yang terpancar di wajah antara rahsia awet muda. Ini berlainan dengan orang
yang selalu stres yang kelihatan cepat tua.
“Semua orang berdepan stres, cuma kita perlu tahu bagaimana
mahu menguruskannya supaya tidak mengganggu kehidupan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, kini ramai lelaki mementingkan penjagaan
diri dan wajah supaya tampil lebih menarik. Pertambahan usia meningkatkan
kesedaran seseorang untuk menjaga penampilan diri, ditambah dengan pendapatan
yang meningkat, membolehkan ia digunakan untuk memanjakan diri iaitu dengan
penjagaan kulit.
Melasma atau bintik perang pada wajah biasa dialami mereka
yang berusia 30 tahun ke atas. Ia perkara lazim berlaku di kalangan wanita Asia
dan susah dirawat.
Antara faktor menyebabkan melasma ialah pendedahan kepada
cahaya matahari, disebabkan pertambahan jeragat, pengambilan pil perancang dan
perubahan hormon.
Rawatan laser atau penggunaan krim membantu mengatasi
masalah bintik perang pada wajah tetapi masalah itu akan berulang jika kulit
wajah tidak dijaga dengan baik dan tiada perlindungan daripada sinaran terik
matahari


Dapatkan produk yang berkualiti tanpa bahan yang
memudaratkan. Produk Myra de Beaute adalah produk yang terbaik syarikat kami
hasilkan. kandungan setiap campuran bahan di dalam nya memenuhi dalam
pembaikian tekstur kulit dan melindungi kulit dari pancaran UV..
No comments:
Post a Comment